KETAWA PENAWAR DUKA
Suka dan duka merupakan asam garam kehidupan.
Begitu juga dengan menangis dan ketawa, ia datang silih berganti yang mana pada
hakikatnya ia menjadikan hidup kita lebih menarik. Menangis dan ketawa
merupakan dua elemen berbeza yang mampu memberi manfaat kepada fizikal dan
emosi setiap orang supaya boleh berfungsi dengan baik.
Sebagai
manusia, kita tidak mampu menangkis setiap kedukaan yang hadir dalam hidup.
Namun sebenarnya, segala
keperitan itu mampu dihilangkan jika diselitkan dengan sedikit gurau senda dan
gelak tawa. Ketawa bukan sahaja salah satu kunci atau cara untuk mendapat
kehidupan yang lebih bahagia malah ia menjadi manifestasi keriangan dan
kepuasan yang tidak semua insan mampu merasainya. Ketawa adalah sifat
keistimewaan yang ada pada setiap manusia dan tidak pada haiwan. Oleh itu,
untuk apa perlu dibuang sifat yang sudah sedia ada, sebaliknya hargailah ia
sepenuhnya agar hidup dihiasi dengan keceriaan dan kegembiraan.
Percaya
atau tidak bahawa ketawa mampu menjadi terapi yang terbaik dan paling mujarab
kepada kesihatan kita yang mana ia dapat mengubat ketegangan dan tekanan? Pada
tahun 2006, Pusat Perubatan Universiti Maryland, Amerika Syarikat menjalankan
kajian keatas 300 responden dan mendapati 40% orang yang menghidap penyakit
jantung kurang ketawa berbanding dengan orang yang sihat. Ini kerana, ketawa
mengaktifkan tindak balas kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan
risiko sakit jantung, tekanan darah tinggi, strok dan ulser. Amarican Journal
Cardiology pula menjalankan satu kajian pada tahun 2010, dan hasilnya
menunjukkan gelak ketawa ini mampu meningkatkan fungsi vascular dalam badan.
Dengan kata lain, semakin kuat kita ketawa, semakin banyak tenaga diperlukan
oleh badan dan secara tidak langsung semakin kuat jantung kita berfungsi.
Selain
itu, individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat
kardiovaskular sama seperti bersenam selama 10 minit. Ini disebabkan oleh badan
kita, yang mana akan semulajadi berehat ketika kita ketawa, ia membantu
merangsang proses pemulihan dengan merendahkan tekanan darah dan melancarkan
aliran darah. Pada saat kita ketawa, diafragma, abdomen, muka , kaki, saluran
pernafasan dan bahagian belakang badan secara tidak langsung ‘digerakkan’
serentak untuk bekerja. Pergerakan ini dianggap senaman untuk bahagian tengah
badan dan sebenarnya turut membakar kalori seolah-olah kita telah bersenam
beberapa minit.
Di
samping itu, ketawa juga mampu menghilangkan tekanan dan stress yang mana kadar
hormon stress seperti kortisol dan adrenalin akan cenderung untuk menurun
ketika kita sedang ketawa. Apabila kita ketawa, badan akan menghasilkan sel-T
iaitu sel darah putih dan sejenis protein yang penting dalam sistem pertahanan
badan. Hormon-hormon ini telah memberi tekanan terhadap sistem ketahanan tubuh
yang boleh mendorong kepada pelbagai jangkitan, penyakit dan mendorong kepada
kesihatan yang tidak baik.
Oleh
itu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa ketawa merupakan elemen yang sangat
penting dan memberi banyak kebaikan bukan sahaja dalam mengawal emosi, bahkan
juga dari segi memiliki kesihatan yang sihat dan sempurna. Namun, perlu diingat
juga jangan sesekali ketawa sehingga menggangu ketenteraman orang lain kerana
ia bukanlah ciri-ciri atau nilai-nilai masyarakat Islam.
~MARI KITER KETAWA BERSAME-SAME YER....HAHAHA~
No comments:
Post a Comment